3) Fadhilat dan hikmah disyari‘atkan haji.


📚 Syarah Ushulul Iman



 Fadhilat haji banyak disebut di dalam al-Quran dan al-Hadis, antaranya:  Firman Allah Ta‘ala:

“Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan haji nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan dengan berkenderaan unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh. Supaya mereka menyaksikan pelbagai manfaat bagi kamu dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka dengan binatang-binatang ternakan”. (Al-Hajj: 27,28).

 Ibadat haji mengandung manfaat yang besar bagi umat Islam seluruhnya, manfaat dunia dan akhirat. Di dalamnya mengandungi beberapa ibadat; tawaf mengelilingi Ka’bah, sa‘ie di antara Safa dan Marwah, wuquf di Arafah, di Mina dan di Muzdalifah, melontar Jamrah, bermalam di Mina, sembelih hadyu (korban dan dam), cukur kepala dan banyak berzikir kepada Allah. Semuanya dilakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah, merendahkan diri kepada Allah dan kembali kepada Allah, kerana inilah ibadah haji merupakan salah satu sebab besar yang boleh menghapuskan dosa dan memasuki syurga.

Daripada Abu Hurairah  katanya: ‘Aku mendengar Rasulullah  bersabda:
 “Sesiapa yang mengerjakan haji ke Baitullah dan tidak melakukan rafats (jima’ dan perkara yang berhubung dengannya), tidak melakukan fusuq (perbuatan jahat dan keji) dia akan kembali daripada dosanya sebagaimana ia keluar daripada perut ibunya (tidak berdosa)”. (H.R. Al-Bukhari dan Muslim).

Daripada Abu Hurairah  sabda Rasulullah :
“Satu umrah dengan umrah yang lain merupakan kaffarah (penghapus dosa) di antara keduanya dan haji yang mabrur (yang diterima oleh Allah) tidak ada balasan baginya kecuali syurga”. (H.R. Al-Bukhari dan Muslim).

Daripada Abu Hurairah  katanya:   “Rasulullah  ditanya: Manakah amalan yang paling afdhal? Jawabnya: “Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya”. Kemudian ditanya lagi: Selepas daripada itu, manakah ibadat yang afdhal? Jawabnya: “Berjihad di jalan Allah”. Kemudian ditanya lagi: Selepas daripada itu, manakah ibadat yang afdhal? Jawabnya: “Haji Mabrur”. (Muttafaq ‘alaih).

Dari Abdullah bin Mas‘ud  katanya: Sabda Nabi : “Ikutilah di antara haji dan umrah, kerana kedua-duanya menghapuskan kefakiran dan dosa sebagaimana api menghapuskan karat besi, emas dan perak dan tidak ada balasan pahala bagi haji yang mabrur melainkan syurga”. (H.R At-Tirmizi, katanya: Hadis hasan sahih).

Antara manfaat haji; pertemuan sebahagian umat Islam yang datang dari seluruh pelusuk dunia di bumi yang sangat dikasihi oleh Allah. Mereka berkenal-kenalan, tolong menolong di atas melakukan kebaikan dan taqwa, serta mereka berada dalam keadaan yang sama, dalam ucapan, zikir dan amalan. Semua ini menjadi tarbiyah kepada mereka untuk bersatu padu dan berhimpun di atas aqidah, ibadat, tujuan dan cara yang satu. Melalui perhimpunan ini mereka dapat berkenal-kenalan, mendekatkan diri dan bertanya khabar di antara satu sama lain, sebagai melaksanakan firman Allah Ta‘ala:   “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami telah jadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku-suku supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu. Sesungguhnya Allah Amat Mengetahui, lagi Amat Mendalam Pengetahuan-Nya”. (Al-Hujurat: 13).

💭 In syaa Allah akan dijelaskan selanjutnya hikmah rukun islam

Baarakallahu fiikum

Komentar

Postingan populer dari blog ini

mati karena sesuai dengan kebiasaannya

ILMU TERBAGI MENJADI DUA (ILMU DHARURI DAN ILMU NAZHARI)

BERBAKTI KEPADA ORANG TUA